KOTA KINABALU: Margin simpanan tenaga di Sabah dijangka bertambah menerusi pengoperasian sebuah Loji Solar Skala Besar (LSS) di Sandakan yang dijadual mula menyalurkan bekalan elektrik ke Grid Sabah pada akhir bulan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Ir Mohd Yaakob Jaafar, berkata ketika ini Sabah mempunyai margin simpanan tenaga yang rendah iaitu sebanyak 12.1 peratus menyebabkan bekalan elektrik kurang stabil.
Beliau berkata, pengoperasian LSS berkapasiti 10 megawatt (MW) itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan Grid Sabah dalam membekal tenaga yang mencukupi terutama ketika waktu puncak.
“SESB memahami keadaan mendesak dan loji tenaga solar ini akan membantu menangani masalah catuan bekalan yang kerap disebabkan kekurangan kapasiti penjanaan grid.
Ini akan meningkatkan margin rizab grid SESB ketika waktu beban puncak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau berkata, pengoperasian LSS terbesar di Sandakan itu juga seiring dengan pembangunan tenaga hijau dan boleh diperbaharui di Sabah.
Loji berkenaan dikendalikan SDK Power Sdn Bhd (SPSB), iaitu antara 10 syarikat pembida di bawah skim LSS1 dan LSS2 yang dianugerahkan kontrak dan menandatangani Perjanjian Pembelian Kuasa (PPA) dengan SESB pada Ogos 2021.
Pembangunan LSS di Sandakan itu membabitkan keluasan kira-kira 15 hektar yang menempatkan rangkaian 24,672 panel solar bagi menukar tenaga sinaran matahari kepada elektrik.
Sementara itu, Mohd Yaakob berkata sebanyak sembilan lagi syarikat yang dilantik sebagai pemaju LLS1 dan LLS2 juga akan mengoperasikan loji solar masing-masing bagi membantu menambah bekalan tenaga ke grid Sabah secara berperingkat sehingga Jun 2024.
Ketika ini, penghasilan tenaga elektrik di Sabah mencapai 1,200 MW berbanding keperluan beban asas pengguna sebanyak 1,080 MW, menunjukkan margin yang kecil dan tidak stabil iaitu hanya kira-kira 12 peratus berbanding 40 peratus di Semenanjung.
Situasi itu memaksa SESB melaksanakan catuan apabila berlaku peningkatan beban asas, terutama pada waktu puncak bagi mengelak gangguan menyeluruh terhadap sistem Grid Sabah.
Catuan elektrik di Sabah dijangka berterusan sehingga margin sedia ada dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih besar dan dianggap stabil bagi mengelak gangguan bekalan elektrik di negeri ini.