KOTA KINABALU: Kali terakhir simbol ‘jabat tangan’ itu digunakan oleh Parti Bersatu Sabah (PBS) ialah pada tahun 2004 dan selepas itu ia bersama komponen Barisan Nasional (BN)lainnya menggunakan simbol dacing.
Kini selepas dua dekad berlalu, PBS yang telah mengambil langkah meninggalkan akan kembali ke gelanggang pilihan raya negeri (PRN) 26 September nanti dengan simbol asalnya.
Soalnya masihkah rakyat Sabah ingat simbol ‘jabat tangan’ itu?
Pengasas PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan nyata positf mengenainya. Malah beliau yakin prestasi parti itu akan lebih baik dalam PRN ini dengan menggunakan logo sendiri berbanding logo BN.
“Saya rasa ramai orang masih suka PBS. Kami akan dapat memperoleh respons positif daripada rakyat,” kata bekas ketua menteri Sabah itu kepada pemberita di Penampang kelmarin.
“Ini kerana PBS masih berjuang untuk rakyat Sabah sepanjang masa tanpa membazirkan sebarang usaha dan kami masih kuat.
“Disebabkan itu lebih baik menggunakan simbol kami sendiri supaya rakyat boleh memilih (kami). Mereka tahu apa yang PBS perjuangkan dan mereka tahu parti ini berjuang kepada rakyat, negeri, negara dan agama,” katanya.
PBS yang meninggalkan BN selepas pilihan raya Mei 2018, awal bulan ini memberi isyarat untuk bertanding 30 kerusi dalam PRN menggunakan simbol sendiri selepas 16 tahun.
Parti itu menang 6 daripada 13 kerusi atas tiket BN pada Pilihan Raya ke-14 (PRU14).
PBS antara parti pembangkang tempatan yang bersekutu dengan gabungan Perikatan Nasional (PN).
Pairin yang bersara daripada presiden PBS pada 2018 berharap parti itu dapat mengambil alih kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan yang mana beliau kalah kepada adiknya Jeffery Kitingan pada PRU14.
Pemimpin veteran yang menubuhkan PBS pada 1985 itu menyandang kerusi berkenaan sejak 1976 sehingga beliau kalah kepada Jeffery yang mengetuai Parti Solidari Tanah Airku (STAR), dalam pertembungan 4 penjuru.
“Saya berharap PBS akan memenangi semula kerusi itu tetapi saya bukan lagi presiden PBS, jadi ia terserah kepada pucuk pimpinan (sama ada bertanding di kerusi itu),” katanya.