KOTA KINABALU: Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) Datuk Zulkarnain Mahdar berkata pihaknya tidak berhasrat untuk menentukan hala tuju UMNO di Sabah, meskipun menyatakan keperluan UMNO bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Malaysia Gazette dalam laporannya semalam memetik Zulkarnain yang juga seorang bekas aktivis dan ahli UMNO selama hampir 30 tahun, menjelaskan bahawa beliau mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat mengenai masa depan parti itu di Sabah.
“Saya ingin mengingatkan Jeffrey (Mohd Nor) agar tidak bersikap sombong. Saya juga amat arif dan faham undang-undang parti.
“Untuk pengetahuan Jeffrey, saya bukannya menentukan hala tuju UMNO, tetapi hanya mengemukakan pandangan yang dibenarkan oleh undang-undang,” katanya.
Zulkarnian juga berkata beliau merupakan individu barisan hadapan yang membantu UMNO dalam usaha menumbangkan Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) dan hampir semua PRN di Sabah.
Sebelumnya, media melaporkan bahawa Pengarah Jentera Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffrey Mohd Nor, mendakwa Zulkarnain tidak mempunyai locus standi untuk menentukan arah tuju UMNO di Sabah selepas gesaannya agar UMNO bekerjasama dengan GRS dalam PRN17.
Menurut Zulkarnain, cadangannya adalah demi kebaikan UMNO yang kini semakin lemah selepas ramai pemimpinnya meninggalkan parti Melayu tersebut setelah usaha kudeta bersama Warisan gagal.
“Akhirnya, keputusan mengenai kerjasama dengan mana-mana parti di Sabah akan dibuat dalam mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
“Cadangan saya selaras dengan pandangan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Malahan, kritik saya sebelum ini hanya ditujukan kepada Datuk Seri Bung Moktar Radin dan pemimpin UMNO yang menyokong Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, bukan kepada UMNO secara keseluruhan,” jelasnya.