Liputan telekomunikasi di Kg. Ulu Entabuan Dalam Perancangan Jangka Panjang MCMC

pelajar-tenom-internet.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR:  Berikut adalah kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenai isu Kg. Ulu Entabuan, Sabah.

Susulan daripada laporan akhbar Utusan Malaysia mengenai dua (2) orang pelajar SMK Entabuan yang terpaksa naik ke puncak bukit berdekatan untuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di pondok kebun getah, pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dari Cawangan Keningau telah pun membuat tinjauan di Kg. Ulu Entabuan dan berjumpa dengan pelajar tersebut pada 8 Julai 2021 yang lalu.

Hasil tinjauan oleh MCMC mendapati Kg. Ulu Entabuan di Tenom, Sabah terhalang oleh bentuk muka buminya yang berbukit, yang menyebabkan liputan Internet lemah.

Walau bagaimanapun, MCMC telah pun mempunyai perancangan jangka panjang untuk membina menara komunikasi baharu dan memperbaiki liputan telekomunikasi di kawasan tersebut.

Buat masa ini, terdapat sebuah menara komunikasi berdekatan yang terletak lebih kurang 2.88 kilometer di Skim Penempatan Getah Lagud Seberang yang akan dinaik taraf untuk memberikan perkhidmatan 4G kepada penduduk dan dijangka siap menjelang April 2022.

Seterusnya, di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), perancangan turut melibatkan pembinaan dua (2) buah menara komunikasi di dua (2) buah kampung yang berdekatan.

Sebuah menara baharu sedang dibina di Kg. Mandalom Baru yang jaraknya lebih kurang 2.75 kilometer dari Kg. Ulu Entabuan dan dijangka akan beroperasi pada bulan April 2022.

Manakala, sebuah menara lagi akan mula dibina pada awal tahun 2022 di Kg. Makakumpai yang jaraknya lebih kurang 3.3 kilometer dari Kg. Ulu Entabuan.

Dengan adanya perancangan-perancangan ini, masalah capaian Internet dapat diatasi tidak lama lagi. -BERNAMA

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top