Liputan 4G di Labuan capai 99 peratus, kelajuan 61.68 Mbps – MCMC

4G.jpg
Kongsi Bersama

LABUAN: Liputan jalur lebar mudah alih 4G di pusat kewangan dan perniagaan antarabangsa Malaysia di Labuan telah mencapai 99 peratus di kawasan berpenduduk setakat suku kedua tahun ini, dengan anggaran kelajuan hingga 61.68 megabait sesaat (Mbps).

Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Wilayah Persekutuan Alyas Roy Amir berkata liputan jalur lebar melalui Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) menunjukkan pencapaian memberangsangkan, dengan enam menara telekomunikasi baharu sudah siap, tambahan kepada 141 menara sedia ada.

“Dua daripada enam menara telekomunikasi baharu di Kampung Lubok Temiang dan Kampung Pohon Batu dibina untuk memanfaatkan 5,000 hingga 6,000 penduduk kampung dan sekitar kawasan berkenaan,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Alyas Roy berkata MCMC merancang untuk memasang 44 stesen pangkalan di beberapa lokasi strategik di tiga kluster iaitu Gersik, Layang-Layangan dan Sungai Lada di pulau ini untuk rangkaian 5G, dengan 26 stesen sudah disiapkan.

“Pemasangan stesen pangkalan ini akan menyumbang kepada 60.1 peratus liputan 5G di seluruh pulau. Kami jangkakan baki stesen akan siap menjelang hujung tahun ini atau tahun depan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata liputan 5G di Putrajaya berada pada tahap 97.3 peratus dan Kuala Lumpur sebanyak 97.6 peratus.

Menurut beliau sejumlah 109 struktur telekomunikasi sedia ada di pulau ini telah dinaik taraf, dan 6,651 sambungan gentian optik ke premis juga telah disiapkan setakat suku kedua 2023, sekali gus dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan komunikasi di Labuan.

Beliau berkata MCMC juga telah membincangkan isu capaian Internet yang terjejas akibat gangguan bekalan elektrik.

“Kami telah mengadakan perbincangan dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk memastikan capaian Internet terus berfungsi walaupun berlaku gangguan bekalan mereka akan menghubungi kami semula untuk pelan sandaran,” katanya. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top