KUALA PENYU: Pembabitan golongan wanita sebagai pemimpin masyarakat diyakini mampu menyumbang kepada pembangunan negeri memandangkan mereka turut memiliki keupayaan serta kemampuan yang luar biasa.
Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Limus Jury berkata, golongan wanita terbukti mampu memberi sumbangan dan bakti kepada masyarakat serta negara memandangkan sebilangan wanita turut dilantik memegang jawatan tinggi dalam kerajaan.
Tambah beliau, barisan pemimpin akar umbi yang dilantik dari kalangan wanita dilihat mampu membawa perubahan sekaligus memberi kesan positif terhadap komuniti setempat selari dengan perancangan serta agenda kerajaan.
Sambil berkongsi kebanggaannya terhadap pelantikan wanita sebagai pemimpin masyarakat, Limus turut menyifatkan ia sebagai satu pengiktirafan kepada golongan terbabit untuk bersama dalam menyumbang demi memajukan Sabah ke tahap yang lebih baik.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ketua-Ketua Adat dan Jawatankuasa Pengurusan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi kawasan Kuala Penyu dekat sini kelmarin.
Dalam perkembangan berkaitan Limus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu turut mengingatkan barisan pemimpin masyarakat supaya menjalankan tanggungjawab dengan penuh komited dan berintergreti demi menjamin kepercayaan rakyat terhadap mereka.
Selain itu, Limus juga mahu Ketua-Ketua Adat dan JPKK supaya menjauhi perkara-perkara yang bertentangan dengan undang-undangan bagi mengelak daripada menjejaskan imej dan kredibiliti sebagai pemimpin masyarakat.
Sebaliknya, mereka harus menunjukkan teladan yang baik dalam membantu menyelesaikan sebarang permasalahan yang ditimbulkan sekaligus menjadi contoh kepada masyarakat lain yang secara tidak langsung mampu mengukuhkan perpaduan sejagat.
Pada majlis itu, seramai sembilan Ketua Anak Negeri; 21 Wakil Ketua Anak Negeri; 53 Ketua Adat dan 54 JPKK dalam kawasan Kuala Penyu menerima watikah pelantikan dalam satu majlis ringkas mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.