Lima sekolah rendah di Sabah dipilih projek rintis sekolah digital

sekolah-digital.jpg

Kredit foto: Kementerian Pendidikan Malaysia

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Lima sekolah rendah di Sabah dipilih untuk melaksanakan Projek Rintis Sekolah Digital ke arah melahirkan lebih ramai murid fasih digital yang mampu menggunakan teknologi secara bersepadu, kreatif, inovatif, bertanggungjawab dan beretika.

Sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Lapasan, Kota Kinabalu; dua sekolah dari Papar iaitu SK Pengalat Kecil dan SK Buang Sayang; manakala dua lagi adalah SK Tansau dan SK Pekan Putatann di Penampang.

Projek buat julung kali diadakan di Sabah itu menyaksikan kerjasama antara Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Yayasan Didik Negara (YDN), sebuah yayasan kelolaan Kementerian Pendidikan bagi menyokong Dasar Pendidikan Digital.

Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan berkata sebanyak 1,350 unit Peranti Tablet Didik Tab akan diberikan kepada lima sekolah tersebut untuk disediakan kepada murid Tahun 1 hingga Tahun 5 agar dapat digunakan sebagai buku teks digital dalam sesi pembelajaran.

“Peranti Tablet Didik Tab ini merupakan peranti yang telah dimuat naik buku teks digital sekolah rendah dan boleh diakses tanpa menggunakan capaian internet,” katanya ketika berucap merasmikan majlis peluncuran projek itu di SK Lapasan di sini semalam.

Majlis itu diadakan sempena lawatan kerja beliau ke Sabah bagi mewakili Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Turut hadir Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapha Sakmud yang juga Ahli Parlimen Sepanggar dan Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Raisin Saidin.

Azman berkata pemberian peranti tablet itu adalah zakat Permodalan Nasional Berhad (PNB) kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan disalurkan kepada YDN dengan jumlah peruntukan sebanyak RM455,000.

Beliau berkata pihaknya percaya Projek Rintis Sekolah Digital adalah satu langkah penting dalam menyediakan akses kepada murid untuk memperkasa pembelajaran interaktif.

Selain itu menurutnya, dengan menggunakan peranti digital dan aplikasi pembelajaran, guru-guru juga akan dapat menjalankan sesi pembelajaran dengan lebih menarik dan efektif.

Beliau turut menggesa semua pihak untuk menyokong pendidikan digital sebagai wadah penting di sekolah bagi melahirkan kemenjadian murid pada tahap optimum sejajar dengan perkembangan teknologi dan digital yang pesat ketika ini.

“Saya percaya penggunaan teknologi dalam bidang pendidikan akan dapat memupuk dan melahirkan lebih ramai generasi cemerlang dan terbilang kepada pembangunan negara yang mampan,” katanya. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top