KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan lima lelaki dan merampas dua bot selepas dipercayai melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan peledak dalam dua kejadian berasingan di sekitar perairan Pulau Mengalum, di sini kelmarin.
Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, bot peronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot pam di kedudukan 16 batu nautika Timur Laut Pulau Mengalum, kira-kira jam 1 tengah hari.
“Ketika pemeriksaan, dua lelaki gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri, lesen bot dan lesen perikanan.
“Kedua-dua lelaki itu disyaki melakukan aktiviti mengebom ikan berdasarkan kepada hasil tangkapan serta peralatan yang ditemui,” katanya dalam kenyataan media, pada Khamis.
Che Engku Suhaimi berkata, bot kedua bersama tiga lelaki ditahan di kedudukan 18.80 batu nautika Timur Laut Pulau Mengalum.
Katanya, ketiga-tiga mereka turut gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri, lesen bot dan lesen perikanan. Ketiga-tiga lelaki itu juga disyaki melakukan aktiviti bom ikan berdasarkan bukti yang sama.
Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.