LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menyenaraikan lima lagi individu baharu dalam senarai orang yang dikehendaki kerana disyaki terbabit dalam aktiviti jenayah rentas sempadan.
Komander ESSCom, DCP Datuk Ahmad Fuad Otman berkata, lima suspek yang tersenarai itu antara 21 penjenayah dikehendaki ESSCom setelah lima daripadanya digugurkan dari senarai itu tahun lalu.
“Lima individu yang terkini dalam senarai dikehendaki ESSCom ialah Japs @Mujafar Sawadjaan, Mujimmar Sawadjaan @Rasad, Mundi Sawadjaan, Haji Wahad @Talib dan Barah Udong @Elvin.
“Kesemua suspek ini dikehendaki kerana terlibat dengan kegiatan culik untuk tebusan (KFR) di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone),” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Ahmad Fuad berkata, sebelumnya lima suspek digugurkan dari senarai dikehendaki kerana tiga daripadanya telah mati ditembak dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan manakala seorang telah ditangkap dan satu lagi menyerah diri.
Senarai 16 individu yang masih dikehendaki dari senarai lama ialah Apo Mike @Majan Sahidjuan, Al Munjir Yadah, Salip Mura, Raden Ambuh, Marajang Manajan Asiri, Sangbas Parisko, Hamsan Pakkan @Black Cobra, Sabri Madrasul @Salip Jul, Ben Tatoh Quirino, Jul @Jun Hasan, Jul Aksan Abdurajan @Halimaw, Tampi @Bunju, Long Sahirin, Haibin Mubin @Apo Kuhambo, Halipa dan Basaron Arok.
Beliau menyeru kerjasama orang ramai untuk membantu pihak keselamatan terutamanya ESSCom dengan menyalurkan maklumat ke Pusat Operasi ESSCom 089863181 atau Whatsapp 013-8803585 / 019-2305909. – Utusan Borneo