Lima Cadangan DARD Kepada Kerajaan GRS

abndul_rahman_dahlan2_0305_2.jpg
Kongsi Bersama

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mengemukakan lima cadangan kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang telah memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 26 Sept lalu.

Antaranya, meminta kerajaan negeri meningkatkan keyakinan pelabur, melaksanakan reformasi undang-undang negeri yang telah lapuk serta menentang rasuah.

“Sementara ahli-ahli politik masih gian membicarakan keputusan pilihan raya negeri, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengutarakan lima cadangan awal saya kepada kerajaan GRS Sabah.

“Tingkatkan keyakinan pelabur untuk melabur di Sabah. Pelabur hanya mahu melabur jika mereka merasakan pelaburan mereka selamat, pulangan pelaburan mereka mencukupi dan peraturan serta undang-undang menjaga kepentingan pelaburan mereka. Kerajaan mesti dilihat sebagai mesra pelabur sepanjang masa.

“Reform atau ubah suai peraturan dan undang-undang sedia ada yang tidak menguntungkan atau menyusahkan rakyat atau yang menyekat kreativiti mereka.

“Reform undang-undang atau ordinan negeri yang sudah lapuk. Antara lain mengenai tanah berstatus Native Title (NT) supaya boleh membantu bumiputera meningkatkan nilai harta mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 26 Sept lalu, GRS yang membabitkan kerjasama Perikatan Nasional (PN), BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti 38 kerusi.

GRS kemudiannya disokong tiga Adun Bebas yang menang dalam PRN itu menjadikan jumlahnya meningkat kepada 41 kerusi.

Pada 29 Sept Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mengangkat sumpah selaku Ketua Menteri Sabah ke-16 di Istana Negeri di Kota Kinabalu.

PRN Sabah menyaksikan Parti Warisan Sabah (Warisan) pimpinan bekas ketua menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal tumbang.

Sementara itu Rahman berkata, pembaharuan juga perlu dilakukan terhadap kerajaan tempatan supaya lebih telus, berintegriti dan berdaya saing.

“Kerajaan tempatan adalah kerajaan yang paling dekat dengan rakyat.

“Upayakan dan tingkatkan usaha anti rasuah dan anti salah guna kuasa dalam kerajaan supaya ketirisan dana awam dapat dibendung,” katanya lagi.

Tambahnya, lima cadangan awal itu tidak melibatkan kewangan kerajaan negeri tetapi impaknya besar kepada rakyat Sabah.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top