KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah akan mengenakan tindakan disiplin terhadap lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang mengambil tindakan bertentangan dengan keputusan parti.
Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, keputusan menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor adalah keputusan parti maka, mana-mana ADUN BN-Umno yang tidak menyokong tindakan itu dikenakan tindakan tegas.
“Walau kita sedar ada lima orang daripada ADUN BN-Umno tidak menyokong tindakan kita tapi bagi kita doesn’t matter, keputusan parti muktamad.
“Kita akan mengambil apa juga langkah dan tindakan tegas termasuk tindakan disiplin kepada mana-mana ADUN BN yang khianat tidak sokong keputusan parti,” katanya dalam sidang akhbar malam tadi.
Untuk rekod dalam laporan yang disiarkan oleh FMT tengah malam tadi, Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Masidi Manjun mendakwa gabungan itu masih memiliki majoriti mudah, termasuk dengan sokongan enam ADUN Umno. Beliau bagaimanapun tidak menamakan keenam-enam mereka.
Tindakan BN-Umno menarik sokongan kepada Hajiji dilakukan susulan perjanjian persefahaman antara BN dan Perikatan Nasional (PN) Sabah telah terbatal selepas Hajiji melanggar perjanjian yang dimeterai selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020.