Liga Super: Sabah FC Sasar Kedudukan Lima Teratas

kim-swee.jpg

Ong Kim Swee

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sabah FC mensasarkan kedudukan lima teratas dalam Liga Super Malaysia yang akan berlangsung pada bulan hadapan.

Ketua Jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee berkata, pihaknya sudah bersedia 70 hingga 80 peratus untuk mempamerkan aksi cemerlang pada perlawanan nanti.

“Seperti saya katakan daripada awal dahulu, objektif ataupun sasaran kita adalah untuk mendapatkan kedudukan lima tempat teratas.

“Tetapi bagi setiap pemain, setiap jurulatih, setiap pegawai yang terlibat, sudah tentu kita inginkan lebih,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Kit Pasukan Sabah FC untuk musim baharu Liga Super, yang diadakan di Imago, pada Sabtu.

Tegasnya, walaupun berharap untuk mendapat tempat terbaik, ia tidak boleh dibuat dengan terburu-buru.

“Saya berharap kita mampu mencapai melebihi daripada apa yang kita inginkan tetapi kita tidak boleh terburu-buru.

“Daripada satu perlawanan ke satu perlawanan, jika kita mampu untuk mencapai kejayaan, saya percaya kita mempunyai peluang yang baik untuk mencipta sejarah mahupun melakar satu lagi kejayaan untuk pasukan Sabah,” katanya lagi.

Terdahulu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam ucapan perasmiannya berkata, usaha mencungkil bakat muda bola sepak di Sabah perlu dipergiat bagi menarik lebih ramai golongan belia menceburi sukan itu.

Beliau berkata pendedahan dan latihan yang berkualiti perlu bermula dari peringkat muda lagi demi melahirkan lebih ramai pemain pelapis bola sepak terbaik di Sabah.

“Saya mahu melihat penekanan diberikan kepada pembangunan belia dalam sukan khususnya bola sepak.

“Sabah FC berada dalam kedudukan terbaik untuk menyediakan platform ini dan memastikan pemain muda dilatih oleh jurulatih terbaik,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC, Khairul Firdaus Akbar dan Pengarah Sabah FC, Datuk Dr Jelani Hamdan. – Awani


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top