Liga Super: Jaringan Minit Akhir Kecundangkan Sabah di Gelanggang Sendiri

sabah-FC-1.jpg

Saat gembira Sabah FC sejurus selepas Park Taesu menjaringkan gol pada minit ke 18.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU : Kehadiran lebih 20,000 jelas berjaya membakar semangat pemain-pemain Sabah FC, namun tidak berjaya menyekat Johor Darul Ta’zim (JDT) membawa pulang mata penuh.

Pertembungan di Stadium Likas malam tadi itu menyaksikan Sabah FC dikecewakan dengan gol kemenangan lawan di minit akhir susulan sepakan percuma di luar kotak penalti.

Dua gol skuad Harimau Selatan dijaringkan oleh penyerang import dari Argentina, Fernando Forestieri, pada minit ke 26 dan ke 95, manakala gol tunggal Sabah dijaringkan oleh pemain import dari Korea Selatan, Park Taesu pada minit ke 18.

Aksi antara JDT yang merupakan pendahulu Liga Super dan Sabah FC yang di tangga kedua bermula rancak sebaik sahaja wisel perlawanan dibunyikan.

Sabah FC mengasak gawang JDT menerusi percubaan Saddil Ramdani, Gary Steven Robbat dan Taiki Kagayama.

Park Taesu menggamatkan suasana di Stadium Likas apabila berjaya menewaskan penjaga gol JDT, Farizal Marlias untuk Sabah mendahului 1-0.

Tersentak dengan gol itu, JDT melancarkan serangan bertali arus ke gawang Sabah yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat.

JDT akhirnya berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-26 melalui Forestieri menerusi percubaan dalam kotak penalti.

Sabah yang menurunkan penyerang import baharu dari Portugal, Jose Embalo, gagal menambah jaringan.

Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Di babak kedua, tiada gol dihasilkan kedua-dua pasukan sehinggalah ke masa tambahan.

Ketika perlawanan seakan berakhir seri, JDT dihadiahkan sepakan percuma di luar kotak penalti akibat kekasaran pertahanan Sabah ke atas pemain JDT.

Sepakan percuma di minit ke 95 itu dimanfaatkan Foristeri untuk gol kemenangan JDT, sekali gus mengecewakan penyokong tuan rumah.

Dengan kejayaan mengutip tiga mata penuh di Stadium Likas, JDT kekal di tangga teratas Liga Super dengan 26 mata, manakala Sabah di tangga kedua dengan 22 mata.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top