Liew Saran Calon PRN Isytihar Harta

liew.jpg

LAHAD DATU: Pengerusi Tetap Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Liew Vui Keong berpendapat calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang wajar mengisytiharkan harta serta sumber pendapatan kepada presiden parti masing-masing.

Liew yang juga Ahli Parlimen Batu Sapi berkata langkah itu dapat menghindarkan salah guna kuasa selepas mereka menjadi wakil rakyat.

“Satu polisi yang bagus untuk bakal calon isytihar harta kepada presiden parti masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan bagi sayap Wanita, Wira serta Wirawati parti Warisan Bahagian Lahad Datu di sini, semalam.

Liew berkata kebiasaannya, pengisytiharan harta dan sumber pendapatan dilakukan selepas calon menang pilihan raya dan menjadi ahli kabinet.

Sementara itu, Liew juga menyatakan hasratnya untuk membawa isu pengisytiharan harta berkenaan ke persidangan Dewan Rakyat agar semua ahli parlimen yang tidak berjawatan mengisytiharkan harta.

Mengenai dakwaan Pengerusi Bersih 2.0 Thomas Fann bahawa pemberian geran tanah selepas pembubaran Dewn Undangan Negeri Sabah sebagai tidak beretika, Liew menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak berasas.

Menurutnya proses pemberian geran tanah itu dilaksanakan sejak tahun lalu.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top