KOTA KINABALU: Wirawati Parti Warisan Sabah (Warisan) mengambil pendekatan untuk tidak meletak sasaran peratusan calon muda yang akan ditampilkan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ketua Wirawati Warisan, Isnaraissah Munirah Majilis berkata, beliau bersetuju untuk melihat lebih ramai calon muda pada PRU-15 dan beliau percaya 5.8 juta anak muda yang didaftarkan secara automatik juga mahu melihat ramai calon-calon muda.
Landskap politik negara sudah berubah seiring dengan perubahan zaman maka, langkah menampilkan muka-muka baharu dalam kalangan anak muda amat penting kepada parti.
Namun, tidak perlu meletak sasaran peratusan calon muda bagi setiap parti. Cukup sekadar mereka memenuhi kriteria dan kelulusan daripada parti untuk diletakkan sebagai calon, itu sudah memadai.
“Sebagai seorang yang memulakan kerjaya politik pada usia yang muda saya menasihatkan mereka yang ingin menjadi calon supaya menceburi bidang politik dengan niat ingin memajukan negara dan membantu rakyat.
“Jangan berhenti belajar daripada pemimpin veteran dan sentiasa bersikap rendah diri jika ingin berada dalam arena politik pada satu tempoh yang lama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Munirah berkata, kelulusan pendaftaran automatik 5.8 juta pengundi muda itu merupakan satu perkembangan yang baik bagi mengangkat lebih banyak suara anak muda yang bakal menjadi pelapis kepimpinan negara pada masa hadapan.
Pendaftaran automatik ini secara tidak langsung memudahkan anak muda yang tinggal jauh di pedalaman dan berhadapan kesukaran untuk mendaftar sebagai pengundi.
Pada 29 September lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan meminta 5.8juta pemilih berusia 18 tahun dan ke atas untuk melakukan semakan dan pengesahan diri sebagai pengundi secara automatik.
Semakan dan pengesahan ini boleh dilakukan bermula 1 hingga 31 Oktober ini melalui semakan Prapendaftaran Pemilik Automatik (SPPA). -UTUSAN ONLINE