TAMBUNAN: Lembaga Padi Sabah (LPS) akan diwujudkan kembali sebagai salah sebuah dari badan kerajaan Sabah bagi mentadbir susun atur berkenaan industri itu.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah Datuk Seri Dr.Jeffrey Kitingan berkata, sudah tiba masanya LPS diadakan kembali bagi menyokong pertumbuhan industri padi di Sabah seperti asal kewujudannya dahulu.
Katanya, LPS merupakan suatu keperluan penting untuk menguruskan hasil komoditi Sabah sendiri termasuklah industri pengeluaran berasaskan pertanian dan juga industri perikanan yang akan dipertingkatkan lagi khususnya industri ternakan udang dan ikan air tawar.
“Tahun ini kita akan membuat beberapa pembaharuan terutamanya menggubal satu undang-undang pertanian untuk memberikan kuasa dan juga peraturan-peraturan tertentu supaya industri pertanian ini dapat kita uruskan dengan lebih baik dan mendatangkan hasil yang lebih mapan pada masa akan datang,” katanya kepada media selepas merasmikan penutupan Kejohanan Bolasepak Piala ADUN Tambunan di Kompleks Sukan Tambunan semalam.
Menurut Jeffrey, Undang-Undang Pertanian (Sabah Agriculture Enactment) ini sudahpun dalam proses penelitian peringkat akhir dan akan dilaksanakan selepas ia diperhalusi kelak.
“Ianya akan memberikan lebih banyak kebaikan kepada pengusaha-pengusaha pertanian dan perikanan di mana hasil-hasil yang dikeluarkan akan diurus dengan lebih sistematik yang memberikan pulangan terbaik kepada para petani dan nelayan serta kerajaan,” katanya lagi.