TAWAU: Seorang lelaki disyaki mencuri barang berharga milik seorang jemaah ketika menunaikan solat Jumaat, di Bombalai berjaya ditahan, kelmarin.
Suspek warga asing berusia lingkungan 20 tahun ditahan sepasukan anggota Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Bombalai, kurang 24 jam selepas melakukan jenayah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner, Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima satu laporan polis yang dibuat mangsa pada jam 12.40 tengahari, Jumaat lalu.
Katanya, kenderaan milik mangsa dimasuki oleh orang yang tidak dikenali dan mendapati telefon bimbit serta wang tunai hilang disyaki dicuri dengan anggaran kerugian bernilai RM1,000.
“Bertindak atas laporan itu, ketika menjalankan rondaan di kawasan Kampung Melati, Burut anggota RCJ mengesan seorang suspek yang mencurigakan, jam 9.05 malam.
“Ketika polis menghampiri, suspek bertindak melarikan diri dan berjaya diberkas selepas berlaku pergelutan antara polis dan suspek,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurutnya, hasil pemeriksaan tubuh badan suspek, polis menemukan sebuah telefon bimbit berjenama serta wang tunai di dalam poket seluar yang dipakai suspek.
“Polis turut merampas pakaian yang digunakan ketika kejadian berserta telefon bimbit dan barang yang disyaki dicuri.
“Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun keseksaan,” katanya. – Utusan Borneo