SEMPORNA: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki cuba menyeludup keluar barang kawalan ke negara jiran di perairan Pulau Mataking, di sini kelmarin.
Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menjalankan rondaan Op Taring mengesan sebuah bot sarat dengan muatan dalam keadaan mencurigakan di perairan tersebut.
Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau, Superitendan Polis Mohd Yacob Murad berkata bot suspek dikesan menuju ke perairan negara jiran.
Katanya, suspek yang menyedari kehadiran pasukan keselamatan bertindak memecut laju, namun berjaya dipintas untuk pemeriksaan.
“Pemeriksaan awal, terdapat seorang lelaki warga asing berumur 30 tahun dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah di dalam bot berkenaan.
“Pasukan keselamatan turut menemukan 11 gelen mengandungi minyak petrol dan 137 bungkus minyak masak bersubsidi di dalam bot suspek,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.
Menurutnya, kesemua barang kawalan yang ditemukan itu dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran.
“Suspek dan kesemua barang kawalan yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan selanjutnya.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot suspek dianggarkan berjumlah RM 16,906.25, manakala kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,”katanya.