KOTA MARUDU: Seorang lelaki dikehendaki polis selepas menetak rakan sekampungnya dalam kejadian di hadapan sebuah hotel di Langkon Commercial Centre di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superitendan Zairolnizal Ishak berkata kejadian jam 6.30 petang Rabu itu mengakibatkan mangsa berumur 26 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan retak tulang tengkorak.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku apabila mangsa bersama sepupunya makan di sebuah restoran sebelum melihat suspek berumur 35 tahun di luar kedai.
“Mangsa kemudian datang ke arah suspek sebelum berlaku perselisihan faham dan mangsa menolak dagu suspek menyebabkan suspek marah dan pergi ke keretanya mengambil sebilah parang,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Beliau berkata suspek mengejar mangsa sehingga ke sebuah hotel dan menetak kepala mangsa menggunakan parang.
“Sepupu mangsa kemudiannya datang ke lokasi dan berjaya meleraikan pergaduhan sebelum berjaya merampas parang daripada suspek.
“Suspek segera melarikan diri beredar dari lokasi terbabit menaiki kenderaan jenis sedan berwarna putih yang menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya.
Zairolnizal berkata hasil siasatan mendapati suspek dan mangsa membesar bersama di Kampung Bengkongan di sini dan mengenali antara satu sama lain, bagaimanapun kedua-dua mereka tidak mempunyai talian keluarga.
“Punca kejadian juga disebabkan mangsa tidak berpuas hati terhadap suspek yang memukulnya semasa majlis perkahwinan di Kampung Ranau di sini pada 2015 lalu.
“Suspek turut mempunyai dua rekod kesalahan lampau mengikut kesalahan dadah dan Seksyen 15 Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Negeri Sabah.
“Polis kini giat mengesan suspek yang dikenalpasti sebagai Ramlie Awang, 34 dan dipercayai melarikan diri keluar dari Kota Marudu bagi membantu siasatan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – Utusan Borneo