KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang dipercayai meletakkan motosikalnya di tepi jalan sebelum terjun di jambatan Petagas, ditemui lemas tiga jam kemudian oleh pasukan mencari dan menyelamat.
Mayat Ismail Zainal, 31, ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian kira-kira jam 3.50 petang semalam selepas dilaporkan hilang ke Jabatan Bomba dan Penyelamat kira-kira jam 1 tengah hari.
Anggota bomba menemui mayat mangsa tidak jauh dari lokasi jambatan di Sungai Petagas.
Saksi berkata, mangsa menunggang motosikal dari arah Putatan menghala ke Kepayan dan tiba-tiba berhenti di sepanjang jambatan sebelum terjun ke dalam sungai.
Seorang pemandu Grab yang memerhatinya, turut berhenti dan melompat masuk untuk mencuba dan menyelamatkannya tetapi gagal apabila dia hilang di bawah permukaan sungai. Orang awam lain di kawasan itu turut terjun ke dalam sungai dalam usaha menyelamatkannya.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Supt Mohd Haris Ibrahim berkata, polis menerima makluman mengenai kejadian itu kira-kira jam 12.57 tengah hari.
Beliau berkata pasukan menyelamat membabitkan anggota bomba, pertahanan awam, polis marin serta dron dari Unit Dron Tentera Udara yang berpangkalan di Sabah dikerahkan dalam pencarian.
“Mangsa ditemui tidak jauh dari tempat terakhir mangsa dilihat orang ramai di sungai berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
DSP Haris berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth di sini untuk bedah siasat dan siasatan lanjut.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, katanya.
Ditanya mengenai motif mangsa, Mohd Haris berkata masih terlalu awal untuk dipastikan kerana mereka masih menyiasat.
“Ia (motif) masih dalam siasatan. Kita akan dapatkan maklumat lanjut mengenai motif sebenar kenapa dia terjun,” katanya.
Mereka yang memerlukan seseorang untuk diajak berbincang boleh menghubungi Befrienders KL di talian 03-7956 8145, atau 04-281 5161/1108 di Pulau Pinang, atau 05-547 7933/7955 di Ipoh, 08-825 5788, 016-803 di Kota 699 Kinabalu, atau e-mel sam@befrienders.org.my.
Sumber: The Star