Lelaki Rogol Anak Berusia 6 Tahun Dipenjara 22 Tahun

tukul-mahkamah.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Seorang lelaki berumur 40 tahun yang merogol anaknya yang berusia enam tahun lapan bulan, dipenjara 22 tahun dan dikenakan 10 sebatan rotan.

Hakim Mahkamah Sesyen Azreena Aziz menjatuhkan hukuman tersebut kepada lelaki itu, selepas memutuskan bahawa pendakwaan telah membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh.

Lelaki itu didapati bersalah merogol kanak-kanak itu antara jam 7 pagi dan 10 pagi pada 11 Ogos 2019 di sebuah bilik tidur di sebuah rumah di Sipitang.

Dia disabit di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lapan dan 30 tahun, serta sekurang-kurangnya 10 sebatan rotan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintah supaya lelaki itu menjalani hukuman penjara dari tarikh sabitannya iaitu pada Khamis.

Selepas menjalani hukuman penjara itu, mahkamah memerintah supaya lelaki itu diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan lelaki itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan ke Mahkamah Tinggi.

Semasa rayuan, peguam Goldam Hamid yang mewakili tertuduh meminta hukuman ringan dan memohon penangguhan pelaksanaan hukuman itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Nur Shafiqah Suleiman yang menggantikan DPP Siti Amirah Muhammad Ali, menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berat atas sebab ia membabitkan kesalahan berat.

Dia berhujah bahawa mangsa dalam kes itu baru berusia enam tahun lapan bulan dan merupakan anak kepada tertuduh.

Shafiqah berkata lelaki itu sepatutnya bertanggungjawab untuk melindungi mangsa sebagai seorang bapa dan bukannya melakukan kesalahan itu kepadanya.

Dia selanjutnya berhujah bahawa perbuatan lelaki itu tidak boleh diterima dan dimaafkan.Tujuh saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan dipanggil untuk memberi keterangan dalam perbicaraan. – Harian Ekspress


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top