TENOM: Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera selepas treler dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung di Jalan Tenom – Kemabong, di sini, semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu jam 9.50 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom digerakkan ke lokasi.
Katanya, kemalangan membabitkan sebuah treler yang terbabas sendiri lalu jatuh ke gaung.
“Terdapat dua mangsa terbabit, seorang mangsa dihantar ke hospital oleh ambulans sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Seorang lagi mangsa yang berada di luar kenderaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Menurutnya, mayat mangsa serahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi tamat sepenuhnya pada 11.42 pagi,” katanya. – HMetro