KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditemukan maut selepas dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di di Jalan Cemetry Reserve berhampiran sebuah taman perumahan di Manggatal di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata mangsa yang berumur dalam lingkungan 30-an itu ditemukan di kawasan bawah tiang elektrik kira-kira jam 5.45 petang.
Katanya kejadian kemudiannya dilaporkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Bertindak dengan maklumat sepasukan polis digerakkan ke lokasi dan hasil siasatan awal ditempat kejadian mendapati mayat lelaki yang ditemui berada dalam keadaan terbaring di bawah tiang elektrik milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
“Pihak SESB yang turut tiba di lokasi menjalankan pemeriksaan di kawasan berkenaan bagi memastikan keadaan selamat sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Mohd Zaidi berkata berdasarkan pemerhatian terhadap keadaan mayat terbabit dipercayai kematian berlaku lebih 24 jam.
“Hasil pemeriksaan awal pada mayat itu dipercayai maut akibat terkena renjatan elektrik.
“Mayat dalam keadaan terbaring di bawah tiang elektrik milik SESB dan pemeriksaan pada tubuh mangsa tidak menemukan sebarang dokumen pengenalan diri.
“Pihak polis juga tidak mengesan sebarang kecederaan untuk dikaitkan dengan jenayah setakat ini,” katanya.
Menurutnya mayat mangsa terbabit dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE1) bagi proses bedah siasat.
Sementara itu operasi mengeluarkan mayat mangsa turut dilaksanakan sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas.