SANDAKAN: Seorang lelaki maut selepas dihempap jentera pemunggah kendaliannya ketika sedang menjalankan kerja mengangkat mesin, dalam kejadian di Jalan Karamunting, Pelabuhan Sabah, awal pagi Selasa.
Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Said Hassan, 60, dikatakan gagal mengawal jentera terbabit sebelum terbalik dan terus menghempapnya.
Jurucakap Bomba Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.43 pagi sebelum menghantar sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, pasukan bomba terus menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan sebuah lagi jentera pemunggah kilang.
“Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian,” katanya sebagaimana dilapor oleh FMT.
Beliau berkata, mayat diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan untuk tindakan lanjut.