Lelaki Indonesia maut, rakan parah bergaduh di pusat hiburan

polis.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut manakala rakannya parah dalam pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Jalan Bandaran Berjaya di sini, awal pagi Ahad.

Menurut Sinar Harian, lelaki berusia 20-an itu disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah ketika mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 2 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kedua-dua mangsa adalah awak-awak bot nelayan warga Indonesia namun mempunyai dokumen yang sah masuk ke negara ini.

“Kedua-duanya terlibat dalam pergaduhan dipercayai akibat perselisihan faham dengan suspek.

“Akibat pergaduhan itu, kedua-dua mangsa yang parah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum salah seorang daripadanya disahkan meninggal dunia dan seorang lagi masih menerima rawatan di hospital,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Rondaan Bermotosikal Amanita Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di Dataran Deasoka, di sini, pada Ahad.

Kasim berkata, pergaduhan itu dipercayai bermula di dalam premis pusat hiburan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan polis mengesan ada suspek namun belum dapat mengenal pasti identiti sebenar mereka.

“Usaha mengesan dan mengenal pasti suspek yang terlibat dalam pergaduhan itu akan dilakukan,” katanya.

Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top