BUKIT MERTAJAM: Seorang tukang kayu di sebuah kilang perabot kini hidup dalam keadaan tertekan apabila mendakwa identitinya dicuri dan disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab sejak lima tahun lalu.
Gara-gara itu juga, mangsa, Ang Siang Ping, 27, dikatakan menyebabkan kerugian kepada seorang pemilik rumah di sini kerana terpaksa menanggung bil elektrik yang tinggi iaitu sebanyak RM230,611.30 sepanjang tempoh berkenaan hingga Mac tahun lepas.
Pada masa sama, Siang Ping juga menerima saman mahkamah untuk satu kes sivil daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebanyak RM234,747.50 kerana didakwa ‘mengusik’ meter TNB di sebuah premis lain yang menjalankan aktiviti perlombongan ‘bitcoin’ di Butterworth sekitar November tahun lepas.
Lelaki tersebut bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut kerana katanya, dia tidak pernah terlibat dengan sebarang perjanjian sewaan dengan tuan rumah terbabit, malah, tidak mengenalinya.
Kata Siang Ping, dakwaan ‘mengusik’ meter TNB juga tidak masuk akal kerana dia tidak pernah memohon bekalan elektrik dan kedua-dua kes berkenaan kini dalam proses mahkamah.
“Kejadian ini (identiti dicuri dan disalahgunakan) mungkin berlaku selepas saya kehilangan kad pengenalan (MyKad) bersama beberapa dokumen lain termasuk wang tunai pada 2017 sebelum satu laporan polis dibuat.
“Namun, laporan polis itu ditarik balik selepas kad pengenalan (MyKad) tersebut dijumpai semula beberapa hari kemudian (dalam tahun yang sama),” katanya dalam sidang akhbar bersama Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim di pusat khidmat ahli Parlimen berkenaan di sini, hari ini.
Kisah malang Siang Ping bagaimanapun tidak terhenti di situ dan menjadi lebih ‘tragis’ ketika dia mahu mengeluarkan wang daripada mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Bagan Ajam, Butterworth pada 18 Februari tahun lepas.
Siang Ping berkata, dia dimaklumkan akaunnya dibekukan oleh bank dan sebelum dimaklumkan terdapat satu tindakan guaman sivil dengan penghakiman terhadapnya hingga menyebabkan semua akaun bank miliknya terpaksa dibekukan.
Dalam pada itu, Sim menggesa pihak berkaitan membantu menyelesaikan isu dihadapi Siang Ping dan dalam masa sama menasihatkan orang ramai lebih berhati-hati menjaga dokumen penting khususnya kad pengenalan.
“Apabila kes seperti ini terjadi, barulah kita sedar akan kepentingan dokumen-dokumen ini,” ujar beliau. –UTUSAN ONLINE