BEAUFORT : Seorang lelaki terpaksa menunggu lebih sejam gara-gara cuba menyelamatkan drone tersangkut di atas pokok durian pada ketinggian 25 kaki dalam kejadian di Kampung Batandok Lubak Beaufort, di sini semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort, Penolong Penguasa Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, mangsa berusia 36 tahun terpaksa menunggu ketibaan pihak bomba untuk menyelamatkannya.
Katanya, pihak Bomba menggunakan peralatan tangga berserta tali untuk membolehkan mangsa turun dengan selamat.
“Mangsa kemudiannya diberikan rawatan awal oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekali gus dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
“Pasukan bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 5.54 petang semalam kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohammad Hasbullah berkata, Balai Bomba Beaufort bersama kekuatan enam anggota diketuai Komander Operasi PBK II Irwan Abdul kemudiannya berjaya menyelamatkan mangsa.
“Selepas memastikan tiada bahaya lain berlaku di lokasi kejadian, operasi kemudiannya ditamatkan pada jam 6.49 petang semalam,” jelas Mohammad Hasbullah.
Sumber: SNT