SEMPORNA: Lelaki ditemukan tidak bernyawa di dalam kereta berhampiran deretan kedai di tepi stesen bas, di sini semalam.
Lelaki berumur 40 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri bersama seorang wanita oleh orang awam yang kemudian menghubungi polis pada 9.10 pagi.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, mangsa yang juga pemegang dokumen IMM13, bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.
“Manakala, wanita tempatan berumur 25 tahun pula telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil.
“Ahli keluarga kedua-dua mangsa juga telah dimaklumkan dan punca kematian belum dapat dipastikan sementara menunggu proses bedah siasat dijalankan,” katanya dalam kenyataan media di sini, pada Jumaat.
Jelas Mohd Farhan, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).-HMetro