SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai membawa sejumlah rokok seludup dalam satu operasi di kawasan perairan Tanjung Larapan, Semporna.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, serbuan jam 1 pagi Jumaat itu juga turut merampas rokok tidak bercukai bernilai RM65,420.
“Bertindak dengan maklumat risikan, sepasukan anggota PPM Semporna pergi ke kawasan Laut Tanjung Larapan dan mengesan dua buah bot pam yang mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan bot pam pertama berwarna biru yang dikendalikan seorang lelaki berumur 45 tahun menemukan sebuah kotak yang mengandungi sejumlah rokok dipercayai tidak bercukai yang disembunyikan di dalam ruangan bot pam,” katanya semasa dihubungi.
Menurutnya, sebuah lagi bot pam bagaimanapun bertindak memecut dari lokasi semasa pasukan operasi menghampiri untuk tujuan pemeriksaan.
“Selepas mengejar bot suspek dalam tempoh kira-kira lima minit, juragan terbabit terjun dari bot dan melarikan diri ke kawasan bakau Kampung Lumanggas, Semporna.
“Usaha mengesan dan mencari tidak berjaya kerana keadaan gelap dan hasil pemeriksaan terhadap bot pam berwarna biru yang ditinggalkan menemukan sejumlah rokok yang disembunyikan di dalam beg plastik berwarna biru,” katanya.
Beliau berkata, kesemua rampasan dan tangkapan dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 dan pihak polis menasihatkan orang awam agar tidak terlibat dengan aktiviti penyeludupan.
“Tiada kompromi dan tindakan undang-undang akan dikenakan kepada mana-mana pelaku,” katanya. – Sabah Baru News