Lelaki ditahan kurang 13 jam selepas pecah masuk kedai runcit

pecah-kedai.jpg

Foto: PDRM Tawau

Kongsi Bersama

TAWAU: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki memecah masuk sebuah kedai runcit di kawasan Apas Parit, di sini, kelmarin.

Suspek berusia 23 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis dari Balai Polis Bandar Sri Indah (BSI) kira-kira jam 5.30 petang.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan daripada pemilik kedai berkenaan pada jam 6 pagi.

“Bertindak atas laporan itu, sepasukan polis dari Balai Polis Bandar Sri Indah menjalankan serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Membalua Batu 11, Jalan Apas.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku memecah masuk ke dalam sebuah kedai runcit dan mencuri barang jualan di premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Semua barangan dapur yang disyaki dicuri berjaya dirampas.

Katanya, dengan dipandu arah oleh suspek sendiri, pasukan serbuan dan dibantu anggota Balai Polis Bombalai memeriksa sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pertama Bombalai.

“Hasil pemeriksaan, polis merampas tong gas, beras dan beberapa barangan dapur yang disembunyikan oleh suspek.

“Suspek bersama barang rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

 

Sumber: Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top