RANAU: Seorang lelaki berusia 68 tahun disyaki dibunuh dan dibakar anak saudaranya sendiri di kawasan hutan terletak di belakang sebuah rumah di Kampung Kipaliu, di sini.
Serpihan tulang warga emas itu ditemukan oleh keluarganya di kawasan itu kira-kira jam 3 petang.
.
Utusan Borneo memetik Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan, Simiun Lomudin sebagai berkata, pihaknya menerima laporan pengadu yang juga anak saudara kepada mangsa dan suspek, pada 9.43 malam.
Katanya, pengadu memaklumkan menemui serpihan tulang disyaki milik manusia yang dibakar di kawasan hutan belakang rumah mangsa.
“Serpihan tulang itu dipercayai milik bapa saudaranya yang hilang pada 16 April,” ujarnya.
Simiun bagaimanapun berkata, kesemua serpihan tulang yang ditemukan itu akan dihantar ke Jabatan Kimia Kota Kinabalu untuk tujuan analisa perbandingan asid deoksiribonukleik (DNA).
“Bertindak dengan kejadian, polis menahan seorang lelaki yang juga anak saudara kepada mangsa hasil daripada siasatan yang dijalankan.
“Suspek berumur 50 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau tidak jauh dari lokasi kejadian untuk membantu siasatan.
“Polis masih dalam proses siasatan termasuk mengenal pasti motif sebenar kejadian,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.