Lelaki ditahan cuba seludup keluar petrol di perairan Tawau

seludup-tawau.jpg

Kredit foto: APMM

Kongsi Bersama

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan seorang lelaki tempatan di perairan 1.7 batu nautika selatan Batu 3 di sini Sabtu lepas kerana membawa 10 gelen petrol dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

Pengarah Zon Maritim Tawau Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata suspek berusia 24 tahun itu ditahan menerusi Op Pluto Timur dan Op Tiris pada 9.55 malam, selepas bot dinaikinya dikesan dalam mencurigakan.

“Pemeriksaan pada bot menemukan 10 gelen petrol dan lelaki itu gagal menunjukkan sebarang permit kebenaran membawa barang bersubsidi terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata kedudukan perairan Tawau yang berada di garisan persempadanan antara Malaysia dan Indonesia menjadi cabaran utama penguat kuasa dalam menangani kegiatan jenayah rentas sempadan.

“Kita tidak menolak kemungkinan wujud orang tengah yang menjalankan aktiviti membawa barang kawalan dalam kuantiti kecil namun secara berulang ke negara jiran. APMM akan terus melaksanakan penguatkuasaan bagi menangani penyeludupan barang kawalan atau subsidi,” katanya.

Shahrizan berkata pihaknya merekodkan 108 kes tangkapan membabitkan RM12.2 juta nilai rampasan tahun lepas dengan 9,187 pemeriksaan vesel dilaksanakan di perairan di sini. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top