Lelaki ditahan bersama lapan guni daun ketum dan syabu

ketum-tenom.jpg

Daun ketum didalam lapan guni yang dirampas pihak polis.

Kongsi Bersama

TENOM: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom berjaya menahan seorang lelaki yang membawa 102.7 kilogram daun ketum dalam Operasi Bersepadu Sekatan Jalanraya (SJR) di jalan Tenom-Keningau di sini.

Polis turut merampas dadah jenis syabu yang dibawa oleh suspek berumur 41 tahun dalam kejadian kira-kira jam 11.00 pagi.

Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superitenden Polis (DSP) Hasan Majid berkata, kejadian disedari apabila polis menahan sebuah kenderaan yang dinaiki lelaki warganegara tempatan terbabit.

“Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan itu menemukan lapan guni berisi daun yang disyaki daun ketum.

“Turut dijumpai bersama individu berkenaan ialah sejumlah dadah jenis syabu serta peralatan yang disyaki digunakan sebagai alat untuk menghisap dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini

Beliau berkata, rampasan dadah jenis syabu dan daun ketum seberat 102.7 kilogram dibawa ke IPD Tenom untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, Ops Bersepadu SJR ini dilaksanakan pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Bahagian Siasatan serta Penguatkuasaan Trafik IPD Tenom.

Hasan berkata, Ops Bersepadu SJR akan dilaksanakan dari semasa ke semasa dalam usaha mengekang aktiviti penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan dan kesalahan yang melibatkan undang-undang jalan raya.

“Polis akan sentiasa memantau dan tidak akan berkompromi dengan sebarang perlakuan yang menyalahi undang-undang.

“Masyarakat juga dialu-alukan untuk menyalurkan sebarang maklumat berkenaan aktiviti yang menyalahi undang-undang di daerah ini melalui talian 087-736211,” katanya. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top