KINABATANGAN: Seorang lelaki hilang dan dikhuatiri dibaham buaya selepas diserang oleh reptilia itu di Kampung Bilit, di Sungai Kinabatangan, di sini, awal pagi semalam.
Mangsa, Masdi Sahar, 40, dipercayai diserang ketika berenang berhampiran tebing sungai selepas bot yang dinaiki bersama rakannya karam sekitar pukul 2 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin, mengatakan bahawa mereka dimaklumkan oleh Balai Polis Sukau mengenai kejadian itu pada pukul 1.35 petang.
“Maklumat awal yang diterima daripada saksi bahawa mangsa bersama tiga lagi rakannya menaiki sebuah bot membawa muatan kayu belian menuju ke tempat pemunggahan.
“Ketika dalam perjalanan, bot mangsa secara tiba-tiba terlanggar sesuatu objek, sebelum terbalik dan karam,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.
Menurutnya, tiga daripada mereka berjaya menyelamatkan diri berenang ke tebing sungai, manakala mangsa dipercayai diserang buaya dan masih hilang
Nurul Azlan berkata, pasukan bomba menjalankan operasi SAR bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Hidupan Liar (JHL) dan orang kampung.
“Setakat ini mangsa belum ditemui dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.