Lelaki Cuba Bawa Dadah Lepasi SJR Diberkas

polis-berkas-dadah.jpg
Kongsi Bersama

KOTA MARUDU:  Ibarat sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh juga ke tanah.

Pada 13 Ogos 2021 jam lebih kurang 9.50 malam bertempat di Sekatan Jalan Raya (SJR) Langkon, anggota dari Unit Kereta Peronda (MPV) dan Petugas SJR Langkon telah berjaya memberkas seorang lelaki tempatan berumur 35 tahun yang cuba menyeludup sejumlah dadah dengan cuba melepasi SJR yang dijalankan.

Dalam kejadian, suspek yang dalam keadaan mencurigakan datang dari arah Kota Belud menggunakan sebuah kereta jenis Proton Saga warna hijau cuba melepasi SJR.

Pemeriksaan terhadap surat kebenaran rentas daerah dapati amat meragukan.

Suspek kemudianya telah diarahkan untuk berhenti di bahu jalan bagi pemeriksaan lanjut.

Pihak Polis kemudian telah membuat pemeriksaan terhadap suspek dan juga kenderaan.

Pemeriksaan di dalam kenderaan suspek menemui 1 beg galas warna merah di tempat duduk penumpang hadapan kenderaan tersebut.

Pemeriksaan lanjut di dalam beg tersebut menemui 1 paket plastik lutsinar sederhana besar yang berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 25.8 gram.

Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek juga mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

Suspek telah direman di bawah seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah mulai 14 hingga 17 Ogos 2021 bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Kes diklasifikasi di bawah seksyen 39A(1)ADB 1952 dan seksyen 15(1)(a)ADB 1952.

Bagi kesalahan di bawah seksyen 39A(1) ADB 1952, jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang dari 2 tahun dan tidak lebih 5 tahun, dan sebatan tidak kurang 3 sebatan dan tidak lebih dari 9 sebatan.

Bagi kesalahan di bawah seksyen 15(1)(a) ADB 1952, jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM 5000 atau penjara tidak lebih dari 2 tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu mengucapkan syabas dan tahniah kepada anggota MPV dan Petugas SJR yang terlibat di dalam tangkapan ini.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top