Lebuhraya Telupid – Sandakan Perlu Pembaikan Segera

Jalan-Telupid-Sandakan.jpg
Kongsi Bersama

SANDAKAN : Lebuhraya Telupid-Sandakan amat memerlukan penyelenggaraan yang lebih baik dalam kadar segera, kata Presiden Persatuan India Sandakan Taren Sunil Manoharan.

Beliau berkata demikian selepas melakukan perjalanan darat dari Sandakan ke Ranau baru-baru ini dan sekali lagi mengalami sendiri keadaan buruk di beberapa bahagian jalan itu.

Taren Sunil menggesa kementerian, jabatan dan pihak berkuasa tempatan yang berkaitan supaya segera memperbetulkan apa yang perlu dilakukan bagi mengelak kemungkinan terjadinya kemalangan, terutama di sepanjang lebuh raya itu.

“Saya pasti kita semua boleh mengimbau kembali kekecohan awal tahun ini apabila Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Persekutuan ketika itu, Khairy Jamaluddin, mengalami kecederaan ringan selepas terjatuh dari basikal apabila melanggar jalan berlubang di bandar Banting di Kuala Langat, Selangor .

“Pelbagai kementerian, jabatan dan pihak berkuasa tempatan segera berjanji secara terbuka bahawa jalan berlubang dan masalah lain di sepanjang jalan di bawah bidang kuasa mereka tidak lama lagi akan hilang. Nampaknya tidak begitu, sekurang-kurangnya tidak di sepanjang Lebuhraya Telupid-Sandakan,” dakwa Taren Sunil.

“Walaupun kita faham bahawa kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan jalan memang memerlukan masa untuk perancangan dan belanjawan sebelum dilaksanakan, mereka yang bertanggungjawab perlu berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan kerja itu secepat mungkin kerana setiap detik kelewatan boleh mengakibatkan kemalangan,” katanya.

Taren Sunil berkata, banyak bahagian lebuh raya Telupid-Sandakan, licin akibat pecahnya permukaan jalan. Beliau berkata, permukaan yang berpasir menyebabkan kenderaan terbabas dan sekali gus pemandu boleh hilang kawalan ke atas kenderaan mereka. Terdapat juga banyak bahagian di mana jalan beralun menyebabkan kenderaan melantun ke hadapan mengakibatkan hilang kawalan.

“Di sepanjang lebuh raya Telupid-Sandakan juga terdapat banyak jalan berlubang yang sebahagiannya sangat besar dan sudah tentu mendatangkan bahaya kepada kenderaan yang lebih kecil. Semua isu ini mesti ditangani dengan cepat,” rayuan Sunil Tanil.

Beliau turut memerhatikan kerja-kerja pembaikan jalan seperti menampal jalan berlubang yang nampaknya tidak bertahan lama. Beliau berpendapat ini mungkin disebabkan oleh penggunaan jalan raya yang kerap oleh kenderaan-kenderaan yang sangat berat.

Beliau menggesa mereka yang berpengetahuan dan berkelayakan untuk mencari penyelesaian di mana pembaikan dan penyelenggaraan jalan raya dapat bertahan dalam penggunaan berterusan walaupun oleh kenderaan yang sangat berat dalam tempoh yang lama.

Sementara itu, beliau memuji pasukan penyenggaraan jalan atau kontraktor yang meletakkan papan tanda amaran di bahagian jalan berhampiran Ulu Dusun di mana tanah runtuh yang serius telah berlaku. Bagaimanapun, beliau mencadangkan papan tanda tambahan dipasang sekitar 100 meter dari tempat sebenar jalan runtuh itu supaya pemandu mendapat amaran lebih awal.

“Saya menggesa semua kementerian, jabatan dan pihak berkuasa tempatan yang berkaitan yang menjaga lebuh raya dan jalan raya kita supaya tidak berputus asa dalam penyelenggaraan dan pembaikan. Ia bukan hanya soal keselesaan dan kemudahan, ia adalah soal hidup dan mati bagi pemandu dan pengguna jalan raya,” tegasnya. – Borneo Post


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top