Lebuhraya Pan Borneo Sabah: Baki 19 Pakej Kerja Akan Dilaksana Menggunakan Peruntukan Persekutuan

fadilah-pan-borneo.jpg

Fadillah (dua kiri) diberi taklimat mengenai projek lebuh raya Pan Borneo.-Foto Bernama

Kongsi Bersama

SANDAKAN: Baki 19 daripada 35 pakej kerja di bawah Fasa Satu projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah akan dilaksanakan menggunakan peruntukan kerajaan persekutuan, kata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, kementeriannya tidak akan melaksanakan projek itu melalui inisiatif kewangan swasta (PFI) seperti yang dicadangkan kerajaan negeri bagi mempercepatkan projek itu.

“Tiada lagi (PFI). Kaedah pelaksanaan dan perolehan kini sedang dimuktamadkan melalui Kementerian Kewangan,” katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Terdahulu, beliau meninjau pakej kerja 27, yang melibatkan kerja menaik taraf jalan dari Kampung Lot M ke Batu 32 Sandakan, di sini sejauh 18.1 km, sempena Jelajah FTRoadpedia Kementerian Kerja Raya.

Fadillah berkata keseluruhan projek Fasa satu di Sabah dijangka siap dalam tempoh lima tahun akan datang.

Mengenai penyelenggaraan jalan yang rosak di Sabah, beliau berkata kementeriannya akan sentiasa berusaha memastikan infrastruktur awam khususnya jalan yang rosak dibaik pulih demi keselamatan pengguna jalan raya.

Menurutnya, sebanyak 47,223 jalan berlubang di Sabah telah ditambal terutama di jalan persekutuan sejak 2019 hingga bulan lalu (April).

“Terdapat juga jalan di Sabah yang memerlukan kerja penurapan semula,” katanya.

Jelajah FTRoadpedia yang bermula kelmarin hingga 29 Mei ini diadakan bagi menyemak status projek pembinaan Lebuhraya Pan-Borneo Sabah dan menangani isu berkaitan penyelenggaraan jalan persekutuan. – Bernama

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top