Lebihan Akaun Semasa Negara RM14.4 Bilion, Meningkat 17.2 Peratus

kontena.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Lebihan akaun semasa Malaysia meningkat 17.2 peratus kepada RM14.4 bilion pada suku kedua 2021 berbanding RM12.3 bilion pada suku sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata lebihan tinggi dalam akaun semasa itu didorong oleh prestasi yang baik dalam barangan walaupun defisit perkhidmatan terus meningkat sejak suku kedua 2020 disebabkan penularan wabak COVID-19.

Pada suku itu, beliau berkata, akaun barangan meningkat 11.1 peratus untuk mencatat lebihan lebih tinggi sebanyak RM40.7 bilion berbanding RM36.6 bilion pada suku sebelumnya.

“Prestasi ketara ini dipacu oleh eksport yang lebih tinggi pada RM244.0 bilion, meningkat sebanyak RM18.5 bilion dari suku sebelumnya. Eksport utama adalah barangan berasaskan elektrik & elektronik (E&E), petroleum dan getah; terutamanya ke China, Singapura dan Amerika Syarikat (AS).

“Import barangan juga meningkat sebanyak RM14.5 bilion kepada RM203.4 bilion berbanding suku sebelumnya. Sumber import utama adalah dari China, Singapura dan Jepun yang mana peningkatan import disumbangkan oleh barangan perantaraan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Uzir berkata, lebihan akaun semasa pada suku kedua 2021 juga disokong oleh defisit pendapatan sekunder yang lebih rendah sebanyak RM1.4 bilion berbanding RM3.6 bilion pada suku pertama 2021.

Beliau berkata, ia berikutan penerimaan yang lebih tinggi dari luar negara, manakala pembayaran ke luar negara berkurangan disebabkan pengiriman wang keluar lebih rendah susulan penurunan bilangan pekerja asing di Malaysia.

Melihat kepada prestasi perdagangan perkhidmatan, import mencatatkan RM36.5 bilion yang secara relatifnya lebih tinggi daripada nilai eksport RM21.1 bilion pada suku kedua 2021.

Ia mengakibatkan defisit lebih tinggi dalam perkhidmatan yang berjumlah RM15.4 bilion berbanding RM15.0 bilion pada suku sebelum, terutamanya disebabkan oleh perjalanan dan pengangkutan.

Situasi di luar jangkaan yang berpanjangan dan semakin teruk susulan lonjakan dalam jumlah kes COVID-19 sejak pertengahan Mei tahun ini, sempadan Malaysia masih ditutup untuk ketibaan pelancong antarabangsa.

Senario seperti itu menyebabkan perjalanan terus mencatat defisit yang lebih tinggi sebanyak RM3.6 bilion pada suku tahun semasa.

Dari segi konteks kewangan, akaun kewangan berubah arah kepada aliran keluar bersih berjumlah RM7.0 bilion pada suku kedua 2021 berbanding aliran masuk bersih RM16.0 bilion pada suku sebelumnya, berikutan pelaburan lain yang mencatat aliran keluar bersih sebanyak RM30.5 bilion, terutamanya pembayaran antara bank yang lebih tinggi ke luar negara.

Sementara itu, pelaburan langsung asing (FDI) mencatatkan aliran masuk sebanyak RM8.2 bilion pada suku dikaji terutamanya dalam bentuk ekuiti dan dana pelaburan saham.

Pembuatan kekal sebagai sektor utama pelaburan asing di Malaysia, diikuti oleh kewangan dan perlombongan; khususnya dari Jepun, Indonesia dan AS.

Pada masa yang sama, pelaburan langsung di luar negeri (DIA) merekodkan aliran keluar sebanyak RM4.0 bilion pada suku kedua 2021 disumbangkan oleh ekuiti dan dana pelaburan saham.

Syarikat Malaysia di luar negara kebanyakannya terbabit dalam sektor kewangan, pembuatan dan maklumat manakala destinasi utama adalah United Kingdom, Indonesia dan Kanada.

Mengulas mengenai pelaburan terkumpul, Mohd Uzir berkata, pada akhir suku kedua 2021, kedudukan FDI meningkat RM16.9 bilion kepada RM730.3 bilion manakala kedudukan DIA adalah RM537.7 bilion.

Beliau berkata, kedudukan pelaburan antarabangsa Malaysia (IIP) mencatatkan aset bersih yang lebih tinggi berjumlah RM112.6 bilion berbanding RM106.4 bilion pada akhir suku tahun sebelumnya.

“Rizab antarabangsa turut meningkat kepada RM461.5 bilion daripada RM450.8 bilion pada akhir suku tahun pertama 2021,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top