Lebih Separuh Kes Positif Libatkan Individu Lengkap Divaksin

vaksin.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sebanyak 461 kes positif yang dilaporkan semalam (Khamis) membabitkan individu yang sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19.

Daripada 820 kes positif Covid-19 yang dicatatkan, lebih separuh melibatkan pesakit yang sudah lengkap divaksin.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kes yang dikesan dalam kalangan kontak rapat juga menunjukkan peningkatan dengan jumlah 443 kes dan ini menunjukkan berlaku ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, trend kes di Sabah dijangka akan terus dalam keadaan turun-naik dalam masa terdekat.

Apabila virus sudah berada dalam kalangan masyarakat, jumlah kes harian yang tidak menentu ini disumbang oleh sikap dan tahap pematuhan masyarakat.

Kes yang dicatatkan semalam menunjukkan sedikit peningkatan dan ia disusuli dengan 19 daerah merekodkan kes yang meningkat manakala, sembilan daerah mencatatkan penurunan kes dan tiga daerah kekal dengan catatan kes yang sama.

Semalam, Kota Kinabalu kekal mencatatkan kes tiga angka dengan 103 kes, diikuti dengan Kota Belud 80 kes, Keningau 48 kes, Tuaran 48 kes dan Papar 47 kes.

Sebanyak 15 kes kematian turut dilaporkan semalam masing-masing, tiga kes di Sandakan dan Tawau; dua kes di Lahad Datu dan satu kes di Beluran, Nabawan, Keningau, Kinabatangan, Kunak, Semporna dan Tuaran.

Kes kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam kerana ada kes yang mengambil masa untuk verifikasi dan lambat dilaporkan.

Sehingga kini kumulatif kes Covid-19 di Sabah sebanyak 203,488 kes dengan bilangan kes sembuh sebanyak 189,242 orang. – Borneo Today

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top