Lebih Ramai Adun Pembangkang Sabah Dijangka Tinggalkan Parti

isnin.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Senario politik Sabah yang tenang selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September tahun lalu kembali panas.

Selepas pengumuman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob keluar daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi menjadi ADUN Bebas pagi tadi, dijangka lebih ramai ADUN daripada parti itu akan bertindak keluar.

Menurut Utusan Malaysia, Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Beaufort, Datuk Isnin Aliasnih (gambar) berkata, sebenarnya ramai wakil rakyat daripada Warisan yang sudah berhubung dengan Bersatu tetapi, ada antara mereka masih berbelah bahagi.

Maka, beliau menyeru agar wakil rakyat pembangkang ini bersama-sama dengan kerajaan untuk membangunkan Sabah kerana pemerintahan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih berbaki empat tahun lagi.

“Saya fikir mereka taksub dengan pemimpin parti kerana diberi jaminan bahawa mereka akan membentuk semula kerajaan. Tapi, berkemungkinan juga ada perkara lain yang menjadi pertimbangan maka, sukar untuk mereka keluar meninggalkan parti,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Beliau antara pemimpin kerajaan GRS yang hadir dalam sidang akhbar pengumuman ADUN Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob keluar daripada Warisan.

Isnin, yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, tindakan Yusof keluar daripada Warisan untuk menjadi ADUN Bebas yang menyokong kerajaan ini amat tepat pada masanya.

Wakil rakyat harus mengenepikan ego dalam politik untuk membantu rakyat yang cukup terkesan akibat pandemik Covid-19 ini.

Tambah beliau, kawasan Sindumin merupakan kawasan luar bandar yang rakyatnya memerlukan perhatian dan bantuan daripada wakil rakyat.

“Kita perlu bekerjasama untuk membangunkan negeri ini agar kita tidak terus ketinggalan kerana sudah lebih 50 tahun kita mencapai kemerdekaan namun, kemudahan infrastruktur kita masih jauh ketinggalan,” katanya.

Pada Ahad lalu, sebuah portal melaporkan 15 ADUN Warisan dijangka akan meninggalkan parti bersama-sama dengan ADUN Sindumin.

Namun, setakat hari ini, hanya ADUN Sindumin sahaja yang tampil membuat kenyataan mengenai keputusannya keluar daripada Warisan. – Warta Oriental


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top