Lebih Dua Orang Semeja Dibenarkan, Jumlah Penumpang Ikut Kapasiti Kenderaan

restoran-pak-mus.jpg
Kongsi Bersama

Kerajaan bersetuju membenarkan jumlah penumpang mengikut kapasiti kenderaan di semua kawasan sekatan, termasuk bawah perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga berkata, mulai esok dan seterusnya, lebih daripada dua orang dibenarkan makan di premis untuk satu meja, termasuk negeri yang masih bawah perintah kawalan pergerakan (PKP).

Beliau berkata, makan di premis dibenarkan mengikut keluasan meja dengan penjarakan fizikal satu meter serta jumlah penumpang dibenarkan mengikut kapasiti kenderaan, iaitu antara kelonggaran baharu diputuskan kerajaan bagi kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Mengambil kira rayuan pelbagai pihak, kita longgarkan syarat-syarat ini. Bagaimanapun, saya nasihatkan supaya masyarakat membuat kawalan kendiri, kanak-kanak kecil dan warga emas tidak digalakkan untuk dibawa keluar,” katanya pada sidang media hari ini.

Sementara itu, perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di SMK Sultan Idris Shah II di Gerik, Perak yang sepatutnya ditamatkan esok iaitu pada 19 Feb akan dilanjutkan mulai 20 Feb hingga 2 Mac.

Kementerian kesihatan telah menjalankan 256 ujian saringan dalam kalangan pelajar dengan empat kes positif dicatatkan.

Walau bagaimanapun, terdapat empat kes positif baru yang direkodkan pada 18 Feb. Oleh itu, ujian kedua akan dijalankan sekali lagi untuk semua pelajar.

Selain sekolah, PKPD di dua kampung di Sarawak, Kampung Sebako 1 dan 2 di Lundu akan berakhir esok seperti yang dijadualkan.

Dalam pada itu, polis menahan 463 individu atas kesalahan mengingkari arahan perintah kawalan pergerakan (PKP) semalam.

Daripada jumlah itu, 440 dikenakan kompaun sementara 22 lagi ditahan reman dan seorang diikat jamin.

Ismail berkata antara kesalahannya ialah kegagalan memakai topeng muka, melintasi daerah atau negeri tanpa kebenaran dan lain-lain.

Sebanyak 3,562 pasukan petugas pematuhan dikerahkan untuk melakukan pemeriksaan di tempat seperti pasar raya, restoran, gerai penjaja, kilang serta bank.

Ismail berkata polis menahan 52 pendatang tanpa izin dan merampas tujuh kenderaan di bawah Ops Benteng.

Tambahnya, 1,029 penumpang telah tiba melalui KLIA semalam dan kini sedang menjalani kuarantin wajib.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top