Lebih Banyak Rumah Mampu Milik Akan Dibina Di Sabah – KM

hajiji-pecah-tanah.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Lebih banyak rumah mampu milik termasuk di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) akan dibina di Sabah selaras dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 1.0.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata Lembaga Perumahan dan Kemajuan Bandar Sabah (LPPB) sedang dalam usaha membina 175 rumah kos rendah di Kemabong, Sukau, Melalap dan Beluran di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Usaha yang diambil oleh kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ini diharap dapat memberi peluang kepada lebih ramai orang memiliki rumah. Kerajaan GRS akan memastikan lebih banyak rumah mampu milik dibina di negeri ini,” katanya.

Berucap pada majlis pecah tanah cadangan pembangunan 441 unit kondominium di Signal Hill di sini pada Selasa, Hajiji berkata LPPB telah menyiapkan 29,218 rumah kos rendah di seluruh negeri sejak Rancangan Malaysia pertama sehingga RMK11.

Pada masa yang sama, 32 projek PPR telah dibina di Sabah yang terdiri daripada 21,800 unit rumah.

Empat projek PPR kini dalam pembinaan di Pitas, Tagasan (Semporna), Kionsom (Inanam) dan Lahad Datu.

Mengenai projek kondominium yang sedang diusahakan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar melalui MARA bersama Kerajaan Negeri, Ketua Menteri berkata ia adalah projek yang baik kerana dapat menarik minat pelabur asing ke Sabah, melalui program Malaysia Rumah Keduaku.

Projek itu juga menawarkan peluang pekerjaan yang berpotensi kepada 1,000 penduduk tempatan selain mewujudkan spin-off ekonomi di kawasan sekitar, katanya.

“Saya percaya pelancara projek ini adalah tepat pada masanya  kerana Kerajaan Negeri telah berjaya menarik beberapa pelaburan baharu dalam sektor pembuatan dan pelancongan,” katanya sambil menambah pelabur ini pastinya memerlukan kemudahan asas termasuk rumah.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top