Lebih Banyak Bantuan Makanan Untuk Keluarga Yang Memerlukan

sekolah-bantu-covid19.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Lebih banyak keluarga tidak bernasib baik di Sabah yang terkesan oleh wabak Covid-19 kini mendapat bantuan yang sangat diperlukan susulan ihsan dan sumbangan rakyat Malaysia yang lain.

SK St Peter di utara daerah Kudat berjaya mengutip hampir RM8,000 sumbangan selepas kisah projek bank makanan mereka disiarkan oleh FMT dua minggu lepas.

Ini membolehkan sekolah rendah itu meneruskan fasa ke-2 projek berkenaan yang melibatkan melangkah keluar ke komuniti miskin untuk menyampaikan makanan kepada mereka yang kelaparan.

Dalam pada itu, usaha seorang wanita yang membekalkan makanan panas kepada petugas barisan hadapan memperoleh sumbangan berjumlah RM35,000 daripada rakyat Malaysia dan Brunei.

FMT melaporkan inisiatif beliau pada 31 Okt lepas.

Rebecca Chin membekalkan makanan panas percuma ke Hospital Queen Elizabeth 1 di Kota Kinabalu setiap hari.

Usahanya itu bermula pada 20 Okt dan sepatutnya berakhir Selasa lepas, namun berikutan sumbangan yang diterima, Rebecca dan pasukannya kini mampu melanjutkan inisiatif itu ke 28 Nov.

Penyelaras bank makanan di SK St Peter Nurul Huda Mostapa berkata, kakitangan sekolah sibuk menyampaikan bantuan kepada komuniti miskin yang tinggal berdekatan selepas sumbangan orang ramai mula mencurah masuk.

“Kami berjaya menyasarkan lebih ramai pelajar dan keluarga yang berdepan kesukaran kewangan akibat pandemik ini,” katanya kepada FMT.

Katanya sehingga kini mereka dapat membantu 100 keluarga, dengan setiap satu menerima bakul makanan bernilai RM50.

“Ini adalah tambahan kepada bank makanan yang memang ada di sekolah. Sebilangan penderma memberi sumbangan 4 angka dan sesetengah yang lain memberi kata perangsang yang mengesankan seperti ‘anda semua seperti Mother Teresa’.”

Sekolah berkenaan memulakan projek bank makanan bulan lepas dengan meletakkan barang keperluan harian seperti beras, tepung dan susu di rak.

Ia bagi membantu pelajar dan keluarga mereka, tetapi ia menjadi popular dalam kalangan penduduk yang tinggal berdekatan.

Nurul Huda berkata, sekolah itu kini merancang untuk membantu lebih 100 pelajar lain dan keluarga mereka di Pulau Banggi berdekatan Kudat. Ia merupakan antara pulau paling miskin di Sabah.

Chin berkata, beliau terus menerima panggilan daripada penderma yang mahu menyumbang selepas FMT melaporkan inisitiatif yang dijalankannya.

“Tanpa bantuan, sokongan dan kasih sayang anda, kami mungkin tidak dapat melakukan khidmat ini untuk negeri kita,” katanya. – FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top