PENAMPANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick menyatakan beliau lebih rela menjadi wakil rakyat pembangkang yang berkesan serta berkualiti daripada menjadi penyokong kerajaan yang umpama ‘kerbau dicucuk hidung’.
Katanya, beberapa hari lepas, seorang Ahli Parlimen Sabah yang juga merupakan ADUN dan bekas menteri menyatakan tidak ada gunanya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau wakil rakyat di blok pembangkang kerana tidak dapat membawa pembangunan di kawasan.
“Saya tidak dapat bersetuju dengan kenyataan tersebut. Tadbir urus pembangunan adalah tanggungjawab kerajaan dan semua jentera kerajaan.
“Tanggungjawab wakil rakyat ialah memastikan pembangunan ini diurus dengan efisien dan dirasai oleh rakyat termasuk di kawasan diwakili ADUN pembangkang,” katanya semasa membahaskan ucapan dasar Presiden UPKO sempena Persidangan Perwakilan Luar Biasa di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata, tiada gunanya menjadi penyokong blok kerajaan yang tidak berkesan dan tidak mampu mengangkat suara rakyat.
Katanya, ada juga Ahli Parlimen yang menjadi menteri hampir dua puluh tahun tetapi daerah yang diwakili masih menjadi antara daerah termiskin di Malaysia.
“Tidak ada gunanya menjadi penyokong kerajaan kalau tidak dapat berjuang secara berkesan menuntut hak-hak rakyat termasuk Perjanjian Malaysia.
“Agak ironi dan aneh apabila mengatakan tidak ada guna menjadi wakil rakyat pembangkang sedangkan semasa diberi peluang menjadi menteri atau menjadi sebahagian daripada kerajaan prestasi mereka pula dipersoalkan,” katanya.
Ewon yang juga merupakan Naib Presiden UPKO menegaskan pendirian beliau untuk terus bersama-sama dengan parti itu walaupun dihubungi oleh rakan-rakan daripada parti-parti dalam kerajaan yang menjemput beliau menyertai mereka.
“UPKO adalah rumah dan keluarga saya. Susah dan senang, saya harus bersama-sama dengan keluarga di rumah saya.
“Tidaklah hanya semasa senang sahaja kita menganggap UPKO ini rumah kita dan apabila berada dalam keadaan yang mencabar, kita meninggalkan pula keluarga ini,” katanya.
Persidangan UPKO kali ini diadakan secara hibrid iaitu perwakilan hadir secara fizikal di dewan dan sebahagiannya mengikuti secara maya. – Utusan Borneo