Lebih Baik Jadi ‘Budak Sorong’ Seperti Di Sandakan Daripada Minta Sedekah

budak-sorong.jpg

Dua daripada 'budak sorong' yang menawarkan khidmat membantu pelanggan di Pasar Umum Sandakan.

Kongsi Bersama

SANDAKAN: ‘Budak sorong’ yang menyediakan perkhidmatan mengangkat barangan dan melakukan kerja-kerja berkaitan di Pasar Umum Sandakan di sini menjadi identiti unik pasar tersebut.

Kehadiran mereka, yang kebanyakannya terdiri daripada remaja keciciran persekolahan, sememangnya memudahkan pembeli dan peniaga, namun masing-masing mempunyai latar belakang dan kisah tersendiri yang membuatkan mereka memilih mencari rezeki dengan menolak kereta sorong.

“Saya mula kerja pukul 5 pagi sehinggalah 12 tengah hari,” kata Omar Sayadi memulakan bicara ketika ditemui Bernama.

Remaja bertubuh kecil berusia 14 tahun itu tidak pernah bersekolah dan mula bekerja sebagai budak sorong sejak beberapa bulan lepas bagi menampung keperluan hidup dirinya, bapa yang sakit serta seorang adik, setelah ditinggalkan ibu.

Menurut Omar dia bangun seawal empat pagi dan berjalan kaki kira-kira tiga kilometer untuk ke pasar tersebut.

“Dulu bapa kerja mandur di ladang, sekarang dia sakit jadi saya kena kerja,” katanya yang terpaksa meminjam kereta sorong ibu saudaranya.

Tanpa menetapkan upah dan hanya bergantung pada keikhlasan pengunjung, Omar mampu menjana pendapatan antara RM30 hingga RM50 sehari yang akan diserahkan kepada bapanya untuk perbelanjaan harian mereka.

Sementara itu, keinginan untuk membeli pakaian baru selain membantu keluarga, mendorong Conan Abdullah, 18, menjadi budak sorong sejak tiga tahun lepas.

“Saya tidak pernah ke sekolah, jadi ini saja pekerjaan yang mampu dibuat. Alhamdulillah, dapatlah juga RM50 sehari, tak akan nak minta duit dari mak lagi, mereka (keluarga) pun bukan orang senang” katanya yang meminjam wang dari rakan-rakan untuk membeli kereta sorong berharga RM140.

Conan yang bekerja dari 6 pagi hingga 3 petang, bercita-cita mahu menjadi penjual sayur yang berjaya.

Bagi Saiful Umrah, 24, yang bersekolah hanya setakat tahun empat, melakukan pekerjaan itu adalah lebih baik dari meminta sedekah.

Ditanya mengenai pandangan masyarakat terhadap mereka, Saiful berkata ada pengunjung yang agak takut apabila ditawarkan perkhidmatan itu dan tidak percayakan mereka.

“Kami bukan budak jahat, kami hanya tolong angkat barang sahaja, bagilah berapa pun kami terima, yang penting ikhlas,” katanya.

Seorang pengunjung pasar Mirnah Razali, 51, berkata khidmat budak sorong amat diperlukannya terutama apabila dia membeli barang dalam jumlah yang banyak.

“Mereka budak baik, tidak mengganggu pengunjung, memudahkan membeli keperluan dan bayaran pun mereka tidak tetapkan,” katanya yang akan ke pasar seminggu sekali untuk mendapatkan barangan keperluan.

 

Tinjauan Bernama mendapati terdapat lebih 40 orang budak sorong di pasar berkenaan yang sentiasa bersedia memberi perkhidmatan mereka kepada pengunjung. – BERNAMA


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top