Lebih 90 peratus kawasan berpenduduk di Sabah kini dapat liputan 4G

4G.jpg

Gambar hiasan. Kredit foto: BERNAMA

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Peratusan liputan 4G di kawasan berpenduduk di Sabah telah meningkat kepada 90.45 peratus setakat suku pertama tahun 2023.

Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Harun Darubi berkata, ini berbanding 73.41 peratus sebelum pelaksanaan Jalinan Digital Negara (JENDELA) pada suku kedua tahun 2020.

Terdahulu, beliau berkata, sebanyak 169 buah menara telekomunikasi telah siap dibina setakat ini bagi meluaskan perkhidmatan jalur lebar mudah alih di Sabah.

Katanya, jumlah tersebut adalah daripada 616 jumlah menara yang dirancang di bawah Pelan JENDELA.

Manakala baki 447 buah menara masih dalam peringkat pelaksanaan, tambahnya.

“Dalam usaha mempertingkatkan kelajuan purata jalur lebar mudah alih, sebanyak 4,158 stesen pemancar telah dinaik taraf kepada 4G daripada 4,186 stesen pemancar yang telah dirancang, manakala baki 28 stesen pemancar masih dalam peringkat pelaksanaan.

“Bagi meluaskan perkhidmatan jalur lebar talian tetap pula, sebanyak 180,346 daripada 303,569 premis telah tersedia dengan gentian optik berkelajuan gigabit, manakala baki 123,223 premis masih dalam peringkat pelaksanaan.

“Kesemua inisiatif yang dinyatakan ini dijangka akan siap dan beroperasi secara berperingkat menjelang penghujung tahun 2025.

“Bagi perkhidmatan jalur lebar satelit pula, kesemua 138 lokasi telah siap dan beroperasi di seluruh Sabah,” katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Jaffari Waliam (ADUN Dilantik) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini semalam.

Jaffari bertanya berapakah menara telekomunikasi yang telah siap dibina di seluruh Sabah sehingga hari ini, selain meminta pencerahan tentang apakah status terkini peruntukan pembinaan menara tersebut yang disediakan Kerajaan Pusat.

Harun berkata, pelaksanaan JENDELA di Sabah melibatkan peruntukan Kerajaan melalui Program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP).

Katanya, pelaburan komersial oleh syarikat pemberi perkhidmatan secara keseluruhannya dianggarkan sebanyak RM4.2 bilion.

Setakat suku pertama tahun 2023, katanya, anggaran sebanyak RM2.9 bilion telah dilaksanakan manakala bakinya dalam peringkat pelaksanaan.

“Inisiatif pembangunan infrastruktur digital ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak berkepentingan.

“Mereka termasuklah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah serta pihak Kerajaan Negeri.

“Ini bagi memudahcara proses kelulusan bagi projek-projek yang telah dirancang dan akan dilaksanakan di bawah Pelan JENDELA demi merealisasikan aspirasi Rancangan Malaysia yang ke-12,” ujarnya. – Warta Oriental

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top