KOTA KINABALU: Sejumlah 544,893 rakyat Sabah telah menerima suntikan vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi Kebangsaan peringkat negeri setakat semalam, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.
Beliau yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 berkata seramai 376,202 individu menerima suntikan dos pertama manakala 168,691 orang pula telah melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin melalui pelaksanaan program itu di seluruh Sabah.
Masidi dalam kenyataan berkata seramai 873,818 individu telah mendaftar untuk menerima vaksin di Sabah dengan 5,243 daripadanya adalah pendaftaran baharu yang direkodkan semalam.
Mengenai perkembangan COVID-19 di Sabah, Masidi berkata sebanyak 258 kes baharu direkodkan semalam menjadikan jumlah kumulatif kes 69,025, manakala seramai 169 pesakit sembuh dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh 66,850 orang.
Tiada kes kematian dan kluster baharu dilaporkan di Sabah semalam. – BERNAMA