KOTA KINABALU: Lebih 400 penggiat industri pelancongan akan menerima surat tawaran bagi geran pembangunan pelancongan Sabah berjumlah RM20,000 di bawah Sabah New Deal tidak lama lagi.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, kementeriannya kini dalam proses mengeluarkan surat tawaran tersebut kepada semua pemohon yang layak.
Beliau berkata, peruntukan baharu sahaja diterima daripada kementerian kewangan selepas diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri bulan lalu.
Katanya, permohonan geran pembangunan pelancongan Sabah berjumlah RM10 juta itu mula dibuka bermula Jun lalu, dan kementerian telah menerima lebih 1,000 permohonan.
Menurutnya, kementerian itu komited untuk meneruskan segala perancangan yang memberi manfaat kepada pengusaha pelancongan yang terjejas ekoran penularan pandemik Covid-19.
Geran terbabit antara inisiatif kerajaan negeri Sabah bagi menambah baik kemudahan infrastruktur pelancongan seperti kemudahan inap desa dan produk pelancongan berasaskan komuniti.