Lebih 400 kes difailkan di mahkamah terhadap kerajaan Sabah

hajiji-1-1.jpg

DSP Hajiji Haji Noor (Gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sebanyak 491 kes telah difailkan di mahkamah terhadap kerajaan Sabah sejak 2019 hingga tahun lepas, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu pada Rabu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, daripada jumlah itu sebanyak 110 kes dimenangi oleh kerajaan negeri termasuk kes yang telah dibuang dan diketepikan oleh mahkamah, manakala tiga kes lagi berkeputusan kalah.

“Sebanyak 378 kes pula adalah kategori kes kerajaan negeri mematuhi perintah mahkamah, kes digugurkan oleh mahkamah, perintah persetujuan dan kes-kes yang masih berjalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin atas ucapan dasar kerajaan negeri.

Hajiji berkata, kebanyakan kes yang diterima adalah kes terhadap Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) dan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Beliau berkata, dalam tempoh sama sebanyak 221 kes difailkan terhadap JTU yang kebanyakannya melibatkan pengambilan tanah bagi tujuan projek Lebuhraya Pan Borneo serta pembangunan tanah oleh kerajaan negeri dan Persekutuan.

Menurutnya bagi kes terhadap JANS pula kebanyakannya melibatkan kerja-kerja yang telah dilaksanakan namun pembayaran tidak dapat dibuat disebabkan dokumen tidak lengkap untuk tujuan pembayaran.

Hajiji berkata, perkara itu berlaku apabila dokumen tersebut disita pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tujuan siasatan kes JANS hingga menyebabkan pembayaran kepada kontraktor tidak dapat dilaksanakan.

“Sebanyak 120 kes JANS telah diterima melibatkan jumlah tuntutan sebanyak RM14.72 juta, bagaimanapun dimaklumkan bahawa kesemua kes ini telah berjaya diselesaikan dan dibayar,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top