KOTA KINABALU: Koordinator Suruhanjaya Kecil Hak Asasi Manusia Indonesia menyatakan seramai 325,477 rakyat negara itu berpotensi menjadi penduduk tanpa kerakyatan (stateless) di Malaysia, khususnya di Sabah.
Menurut Utusan Malaysia yang memetik laporan Antara News perkara itu dimaklumkan oleh aktivis hak asasi negara itu Anis Hidayah yang mendapat laporan daripada Konsulat Jeneral Indonesia di Malaysia.
Laporan itu turut dipetik oleh CNN Indonesia.
Katanya, rakyat Indonesia berpotensi menjadi penduduk tanpa kerakyatan di Sabah, iaitu 151,979 orang di Kinabalu dan 173,498 di Tawau.
“Jumlah keseluruhan melibatkan seramai 325,477 orang rakyat Indonesia,” katanya seperti yang dilaporkan Antara News.
Selain itu, Anis juga menyatakan Malaysia menjadi satu daripada negara yang mempunyai masalah tertinggi melibatkan pekerja imigran Indonesia.
Sehubungan itu, kumpulan hak asasi manusia negara itu menggesa kerajaan Indonesia supaya membentuk satu pasukan khas untuk menangani masalah terbabit dan golongan yang menjadi ‘stateless’ di Sabah.
Badan itu juga meminta kerajaan Indonesia menjalin kerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan termasuk pertubuhan bukan kerajaan dalam menangani masalah terbabit.
“Semua pihak memainkan peranan penting dalam memastikan kebajikan rakyat Indonesia di luar negara,” ujar Anis.
Beliau juga menegaskan, Indonesia merupakan antara negara pengirim bekalan tenaga kerja utama di dunia dan sehubungan itu, semua pihak berkaitan wajib melindungi golongan berkenaan.